PENGAMBILAN BARU PELAJAR PENGAJIAN ALIM & HAFIZ 26/27 KINI DIBUKA
SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN
Sistem Pendidikan Sekolah Tahfiz di Malaysia merupakan satu Sistem Pendidikan Tradisional dalam sejarah perkembangan Islam. Institusi ini wujud apabila adanya usaha- usaha para ulama terdahulu mengambil inisiatif mengajar masyarakat Islam di kawasan setempat supaya lahirnya insan-insan yang berjiwa Al-quran.
Cadangan penubuhan Pusat Pengajian Islam ini yang membawa maksud mewujudkan warisan Islam adalah satu usaha murni bertujuan menghidupkan ruang pendidikan agama kepada masyarakat secara lebih khusus. Hasrat ini lebih terserlah apabila di kawasan ini, khasnya di Terengganu yang mempunyai nama yang sempurna sebagai Darul Iman. Darul Iman yang memberi makna sebagai rumah orang-orang yang beriman ,memerlukan individu yang mantap Ilmunya bagi memenuhi syarat mereka yang beriman.
Dengan penubuhan Pusat Pengajian ini pula, Insya Allah akan wujud lagi ramai mereka yang akan menjadikan diri mereka sebagai insan yang beriman. Moga niat ikhlas kami mendapat limpah rahmat Ilahi.
PEMBANGUNAN MBQ DI KAMPUNG GONG BALAI MARANG TERENGGANU
Alhamdulillah, pada awal tahun 2019 seorang hamba Allah telah mewakafkan tanah berkeluasan 2 ekar yang terletak di Kampung Gong Balai, Marang kepada Pengurusan MBQ untuk dijadikan Pusat Pengajian Tahfiz dan Pengajian Alim. Sehubungan itu, dengan keputusan bersama yang disepakati oleh Pihak Pengurusan MBQ akhirnya bersetuju untuk menubuhkan satu lagi Pusat Pengajian Tahfiz yang dinamakan sebagai Madrasah Baitul Quran (MBQ) di tanah tersebut dan akan dimulakan pembinaannya pada akhir Ogos 2019.
Alhamdulillah, pada tarikh 1 september 2020 Madrasah Baitul Quran di gong balai telah pun siap sepenuhnya dengan jumlah pelajar yang ada sekarang adalah seramai 28. Pada awal bulan 12 tahun 2020, Madrasah Baitul Quran telah pun lulus pendaftaran di bawah Jheat.03-018/14/247